Salam semuanya,
Semoga sihat-sihat la semuanya disamping keluarga tercinta. Saya, as usual, kena keje hujung minggu. Keadaan ekonomi yang tak berapa sihat kebelakangan ini, membuatkan saya lagi teruja untuk memulakan perniagaan di internet ini. Ramai rakan-rakan yang mengatakan supaya saya menghentikan kerja sia-sia ini tapi saya yakin, saya akan berjaya suatu hari nanti. Apa-apa pun, saya sudah memulakan langkah yang pertama. Haaa….blog ni, langkah pertama la tu. Betul tak?
Ramai di kalangan kita suka melayari internet. Ada yang suka chatting, baca email, mencari informasi. Pokok pangkalnya segala informasi, boleh kita dapati di internet. Saya bermula pun secara kebetulan semasa melayari internet ini. Saya terjumpa website seminar perniagaan internet di SINI! Daripada website tersebut, saya rasa ‘curious’ macammana anak muda yang masih lagi menuntut di universiti boleh menjana pendapatan yang lumayan. Saya kaji lagi pasal mereka di blog rasmi mereka di SINI! Tengok la derang ni. Muda-muda lagi dah pandai cari duit sendiri. Langsung tak menyusahkan ibubapa. Pandai Ibubapa mereka mendidik anak supaya mencari pendapatan sendiri di usia muda. Ilmu-ilmu ini semua, mana ada kita belajar di sekolah. Dari segi pendidikan memang la di ajar di sekolah tapi bab kemahiran diri? Anda semua fikir la sendiri. Kagum i tengok derang berdua ni heheeeee…..

Ingin saya berkongsi satu artikel mengenai satu lagi anak muda yang menjadi idola saya. Saya pasti anda semua tentu mengenali beliau. Kenal Dr. Irfan Khairi? Korang kenalkan! Nama dia selalu di akhbar harian ataupun di majalah mengenai perniagaan dan kewangan serta di kaca television. Hebat budak nih!
Artikel ini di petik daripada DEWAN MASYARAKAT mengenai beliau.
DEWAN MASYARAKAT: “Irfan Khairi Jutawan Muda”
Memperoleh keuntungan lumayan hingga mampu bergelar jutawan pada
usia muda menjadi impian setiap insan. Pierre Omidyar, pengasas
laman lelongan menerusi internet yang lebih dikenali sebagai eBay
menjadi jutawan pada usia yang belum pun mencecah 30 tahun.
Berikutan kejayaan Omidyar, mendorong anak muda tempatan lulusan
ijazah Sarjana Muda Reka Cipta Multimedia dari Universiti
Staffordshire, United Kingdom [UK], Irfan Khairi, menceburi
perniagaan sendiri di Internet.
Pemuda kelahiran Perak, tetapi dibesarkan di Selangor dan sekarang
menetap di Seremban ini mengaplikasikan sepenuhnya pengetahuan
Internet dan Multimedia yang dipelajarinya untuk menjadi jutawan
muda seawal umur 25 tahun. Tidak ada siapa yang menduga, anak muda
yang agak pemalu dan sentiasa merendah diri ketika di bangku
sekolah itu berjaya duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi
dengan tokoh jutawan Internet yang lain.
Menyoroti sejarah sebelum memegang status itu, Irfan setelah habis
pengajian ijazah pertamanya menerima tawaran bekerja di salah
sebuah syarikat teknologi maklumat [IT] terbesar di Birmingham
iaitu Netmedia [UK] Ltd.
Sebagai pereka sistem multimedia dan perunding Internet, beliau
bertanggungjawab mereka cipta sistem pembelajaran Internet untuk
sekolah-sekolah di UK yang dikenali sebagai Learning Grid. Sekarang
lebih daripada 5000 buah sekolah di UK menggunakan sistem tersebut.
Oleh sebab minat dan pengetahuan yang mendalam dalam bidang
Internet dan perniagaan, beliau mula berjinak-jinak dalam bidang
perniagaan Internet secara sambilan pada 1999. Selepas mendapati
pendapatan daripada perniagaan Internet miliknya itu bertambah
berlipat kali ganda, beliau mengambil keputusan untuk berhenti
kerja dan menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan tersebut.
Semenjak itu, Irfan hanya bekerja sepenuh masa dari rumah dengan
hanya menggunakan komputer riba dan Internet. Dalam masa tiga tahun
beroperasi, salah satu perniagaannya memperoleh keuntungan bersih
sebanyak RM 1 juta tanpa pekerja dan peralatan komputer canggih.
Modal permulaannya hanya RM500.
Ditanya sejak bila mula terfikir untuk terlibat secara serius dalam
bidang perniagaan seperti ini, Irfan dengan senyum yang tidak
pernah lekang dari bibirnya menjawab, ‘Ketika berusia 18 tahun ‘
‘Selepas Sijil Pelajaran Malaysia, saya mula memikirkan masa depan
perniagaan ini. Saya berminat menceburinya setelah mendapat banyak
sumber inspirasi melalui buku tentang kejayaan orang lain yang saya
baca,’ Katanya.
Kejayaan yang dimilikinya itu, memerlukan usaha yang bersungguh dan
terancang. ‘Saya bukan bergelar jutawan dalam sekelip mata, tetapi
mengambil masa tujuh tahun untuk sampai ke tahap ini,’Katanya.
Menurut Irfan, semuanya bermula apabila beliau mula berminat
mendalami kejayaan orang lain dalam bidang-bidang tertentu. ‘Saya
dapati mereka berjaya kerana melakukan perkara yang
disukaai,’katanya.
Meminati Bill Gates yang dianggap sebagai idolanya, beliau
menyatakan kekagumannya terhadap manusia paling kaya di dunia itu.
‘Saya kagum dengan idea, konsep yang diketengahkan oleh beliau.
Bill Gates juga seorang ayah yang baik. Walaupun beliau orang yang
terkaya di dunia, tetapi masih tetap merendah diri.Kalau boleh saya
ingin menjadi seperti beliau.’
‘Dari awal hingga menjadi kaya, beliau buat perkara yang
diminatinya iaitu pengaturcaraan [programming], Beliau menjadi kaya
sebab buat perkara yang diminatinya. Saya juga selalu sarankan
kepada peserta bengkel kendalian saya supaya buat perkara yang
mereka minat, jangan terikut-ikut dengan industri yang kita sendiri
tidak tahu keadaannya. Kalau hendak mencapai kejayaan sebenarnya
industri apa-apa pun boleh tetapi yang paling panting, kita minat,’
jelas beliau.
Ditanya tentang kelebihan perniagaan Internet, Irfan berkata,
‘Kemudahan Internet sebenarnya memberikan potensi cukup luas dalam
memperluas perniagaan dan kita boleh berniaga apa-apa sahaja di
luar sana. Jenis perniagaan itu pula bebas asalkan mendapat
permintaan.’
Menurut Irfan lagi perniagaan itu sesuai diceburi oleh siswazah
menganggur kerana mereka mempunyaai pelbagai kepakaran bidang yang
boleh diniagakan menerusi internet, asalkan mereka celik IT,
mempunyai peralatan komputer, dan kemudahan Internet.
‘Perkara yang penting ialah kesungguhan dan yakin terhadap potensi
diri untuk menjadi yang terbaik dan peluang menjadi jutawan
sebenarnya terbuka luas untuk semua orang, ‘ tambah beliau.
Perniagaan Internet beliau yang menggunakan nama IdeaBubble,
sehingga sekarang telah berkhidmat untuk lebih daripada 3000 orang
pelanggan dari serata dunia. Kebanyakannya dari Amerika Syarikat,
UK,negara-negara Eropah, Timur Tengah, Jepun dan Australia.
Antara perniagaannya yang berjaya termasuk mereka cipta E-book,
mereka cipta laman web dan grafik, perkhidmatan SEO [Searca Engine
Optimization ], Menjual peta, penempahan hotel, perunding
multimedia, E-Niaga, dan e-pembelajaran.
Irfan juga tidak lokek berkongsi kejayaannya malah menulis buku
berjudul, Rahsia Jutawan-Jutawan Internet Terbongkar, kepada orang
ramai yang berminat mempelajari teknik berkesan untuk menjalankan
perniagaan Internet. Dalam buku tersebut, beliau mencadangkan
supaya pembaca yang ingin menjalankan perniagaan Internet hanya
menjual satu produk atau perkhidmatan sahaja untuk setiap laman web
yang dibangunkan kerana ini memudahkan mereka mencapai kejayaan.
Tidak ketinggalan beliau juga memberikan beberapa panduan bagaimana
pembaca boleh membangunkan laman web mereka sendiri. Buku setebal
158 halaman terbitan Truewealth Sendirian Berhad ini berguna untuk
mereka yang merancang untuk menjalankan perniagaan Internet.
Sehingga sekarang, Irfan masih bekerja sepenuh masa di rumah dengan
penuh selesa menggunakan Internet sebagai sumber pendapatan
bersama-sama isteri dan sepasang cahaya mata. Katanya, hidup mesti
diteruskan walaupun sudah bergelar jutawan.’Walaupun harta akan
ditinggalkan setelah mati, tetapi berfikirlah bahawa pekerjaan yang
kita lakukan hari ini adalah untuk kesenangan 1000 tahun lagi.
Maka, wajib bekerja dan bekerja’
p/s apa macam kawan-kawan sakalian? Adakah kamu semua mendapat inspirasi daripada artikel di atas?
p/p/s saya pun mendapatkan inspirasi daripada buku-buku motivasi dan buku kejayaan mereka-mereka yang sudah berjaya
Marilah membaca! Syok wo!
p/p/p/s saya menerima email dari Maidzatul Faiza yang mengatakan bahawa kawan kite daripada kelas 5Sc2 Rahmat Bin Abdul Rahim akan berangkat untuk menunaikan fardhu Haji bersama isteri beliau pada Rabu 12hb Nov’08. Beliau juga ingin meminta ampun dan maaf kepada sesiapa yang mengenali beliau. Marilah kite sama-sama mendoakan Allah swt mempermudahkan segala urusan mereka, semoga memperolehi Haji yang marbrur. Amin!